Ulamak Pelapis PAS Desak JPMK Tarik Balik Tindakan
Sunday, July 24, 2011
Kenyataan Rasmi: Ulamak Pelapis PAS
Kuala Lumpur, 24 Julai 2011 - Ulamak Pelapis, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah (JPMK) agar menarik balik tindakan yang diambil terhadap pelajar-pelajar di Mesir kerana mengadakan himpunan menyokong tuntutan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Antara tindakan yang diambil adalah pembatalan pengajian seorang mahasiswa negeri Selangor, menghalau 3 orang mahasiswa daripada Asrama Rumah Melayu di Abbassiyah (ARMA) tanpa sebarang notis dan surat tunjuk sebab, menyenarai hitamkan 40 orang mahasiswa negeri Perak dan beberapa orang mahasiswa negeri Terengganu yang menerima ugutan.
Tindakan yang diambil jelas menzalimi mahasiswa tersebut sekaligus melanggar hak mahasiswa untuk berhimpun secara aman yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan tidak dihalang oleh pihak berkuasa Mesir.
JPMK seharusnya mendokong sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia untuk melihat suara mahasiswa dan perhimpunan yang dilakukan secara positif apatah lagi negara Mesir sendiri yang menjadi tempat mahasiswa ini belajar sedang berusaha untuk menjadi sebuah negara demokrasi tulen.
Tindakan yang diambil juga dilakukan secara terburu-buru tanpa ada penyiasatan yang teliti dan tidak memberikan hak kepada mahasiswa terbabit untuk mempertahankan diri. Ini sama sekali bercanggah dengan ajaran Islam. Kezaliman dan penindasan ini seharusnya dihentikan. Kuasa yang dimiliki tidak seharusnya menyebabkan kita lupa diri sebagai seorang muslim.
Justeru, Ulamak Pelapis PAS menyeru agar Dato' Tuan Yang Terutama Duta Malaysia ke Kaherah, Dr. Fakhruddin bin Abd Mokti yang mempunyai latar belakang pengajian Islam agar tidak membelakangi ilmu yang dipelajari dengan menzalimi para mahasiswa.
Ulamak Pelapis juga memohon agar Wisma Putra, Kementerian Luar Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi agar campur tangan terhadap tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini demi untuk masa depan Islam dan negara pada masa hadapan.
Lajnah Keahlian & Ulamak Pelapis
Dewan Ulamak PAS Pusat
Dewan Ulamak PAS Pusat
0 comments:
Post a Comment